Friday, April 23, 2010

Raya…!! Pilihan raya..!!

P230410_13.18

 

Tiba-tiba dapat ilham untuk menulis tentang fenomena yang sedang melanda Hulu Selangor..ya..pilihanraya kecil…suasana begitu meriah sekali di kawasan Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung dengan pusat pemerintahan (command centre) BN yang diletakkan di Bukit Sentosa (di bukit berhadapan Masjid As-Salam) dan situasi sekarang tidak ubah seperti pilihanraya umum. Cuma rasanya mungkin lebih hebat dari pilihanraya umum. Mungkin semasa PRU, kawasan Hulu Selangor tidak terlalu dipandang sehingga kini, apabila berlaku pilihanraya kecil, mulalah usaha untuk menerajui pemerintahan di daerah ini.

 

Rata-rata kempen yang dilakukan tidak kurang seperti dulu. Janji-janji dan usaha-usaha untuk memajukan dan memperbaik taraf hidup penduduk daerah ini semakin giat dilaksanakan. Flat-flat yang dahulunya kelihatan usang dan tidak terurus kini sedang diperbaiki. Jalan yang dulunya banyak berlubang sudahpun diturap dengan jalan yang baru. Lampu-lampu jalan yang dahulunya terbiar apabila rosak, kini dalam proses pemulihan. Kalau dilihat dari fizikal semata-mata, memang bagus usaha-usaha yang dilaksanakan, malah usaha seperti inilah yang sewajarnya dilakukan secara konsisten, bukan hanya semasa menghampiri musim pilihanraya semata-mata. Seolah-olah sudah menjadi trend masakini untuk hanya menunjukkan keprihatinan untuk meraih undi semasa menghampiri musim mengundi. Harapan pengundi, merujuk kepada penduduk di bawah parlimen Hulu Selangor, ialah seorang pemimpin yang mampu membela nasib rakyat tanpa mengira status atau keturunan mahupun bangsa atua agama, seorang yang tidak hanya mementingkan kedudukan sendiri hingga lupa melihat apa yang sedang dialami oleh rakyat, seorang yang mampu mengotakan janji dan menjalankan amanah dengan sebaiknya, tidak hanya menabur janji-janji manis yang akhirnya tinggal kata-kata sahaja.

 

Teringat khutbah yang dibacakan oleh khatib semasa solat Jumaat pada hari ini, khutbah yang begitu bersemangat dan penuh dengan isi-isi yang bermakna, iaitu tanggungjawab seorang Muslim sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini. Betapa kita terlalu mengejar nikmat dan kekayaan duniawi sehingga kita lupa akan tanggungjawab kita yang sebenarnya. Realiti sekarang ini ialah terlalu banyak usaha yang dilakukan adalah untuk memajukan manusia dari segi lahiriah semata-mata, sehingga melupakan unsur rohaniah atau spiritual. Elemen ini seolah-olah dipandang rendah atau diketepikan oleh ramai orang Islam pada masa kini. Islam seolah-olah tinggal hanya pada nama semata-mata. Masjid pula banyak digunakan semasa solat Jumaat sahaja, dan majlis-majlis ilmu serta kuliah-kuliah amat jarang sekali dihadiri oleh golongan-golongan pemuda yang bakal menjadi pejuang untuk menegakkan agama Islam. Aplikasi Islam dalam kehidupan seharian semakin diabaikan, pelaksanaan perkara-perkara yang wajib seperti menutup aurat dan solat lima waktu semakin dilupakan. Jika kita gagal melaksanakan suruhan Allah S.W.T, maka tidak hairanlah gejala-gejala sosial yang semakin berleluasa tidak dapat dibendung. Hanya dengan didikan dan pelaksanaan serta rasa taqwa terhadap Allah yang dapat menahan seseorang daripada melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya. Kesimpulan yang ingin disampaikan oleh khutbah ini ialah kita mestilah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, yang mengajar kita dalam setiap aspek kehidupan, yang mengajar kita supaya mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan peribadi. Perjuangan kita hanyalah untuk menegakkan agama Allah. Kita hidup dan mati kerana Allah. Maka, kita melaksanakan tugas semata-mata kerana Allah.

 

Oleh itu, diharapkan pemimpin-pemimpin di negara ini dapat menyedari hakikat ini dan mula melaksanakan anjakan paradigma yang boleh membantu masyarakat kita untuk bergerak ke arah yang lebih positif…

No comments:

Post a Comment

Silakan komen...~