Wednesday, December 29, 2010

Battle Royale

(Perhatian: Post ini hanyalah rekaan semata-mata. Sebarang persamaan dengan pihak-pihak tertentu adalah tidak disengajakan….)

Disebabkan oleh peningkatan masalah remaja yang semakin tidak terkawal lagi, saya ingin mensarankan kerajaan untuk melancarkan suatu program atau rancangan untuk menentukan nasib dan masa depan pelajar-pelajar ini. Rancangan ini sudah pun dilaksanakan dengan jayanya di Jepun dan didapati bahawa ianya memang berkesan untuk mengatasi lambakan penjenayah-penjenayah dalam kalangan pelajar, sekaligus menanamkan perasaan takut kepada pelajar-pelajar bermasalah yang lain.

Battle_royale

Program Battle Royale


Program ini bertujuan untuk menanam kesedaran dan memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang bermasalah dan menimbulkan masalah kepada orang lain. Golongan sasaran bagi program ini adalah pelajar-pelajar yang mempunyai rekod jenayah berat seperti membunuh, cubaan untuk membunuh, terlibat dalam kegiatan gengster atau lain-lain kegiatan haram yang boleh mengancam nyawa orang lain, masalah-masalah sosial seperti dadah, pelacuran dan sebagainya, dan yang pernah membuang bayi secara kejam dan tidak pernah menyesali akan perbuatannya itu. Pelajar yang merasakan diri mereka cukup hebat dan tidak perlu lagi hidup di dunia ini juga boleh disenaraikan. Selain itu, pelajar-pelajar yang mempunyai masalah yang dianggap boleh mengancam masyarakat atau menimbulkan masalah yang besar kepada negara juga akan diambilkira. Sebarang rayuan untuk keluar dari program ini tidak akan dilayan kerana proses pemilihan akan dilakukan dengan sangat teliti dan mengambil kira semua faktor.

Pelaksanaan

Tempoh program ini dijangka akan berlangsung selama 1 bulan. Proses pemilihan akan dilakukan oleh penyelaras program yang akan dihantar ke setiap sekolah yang mempunyai pelajar yang memenuhi kriteria-kriteria pemilihan. Penyelaras program ini tidak akan diketahui oleh pihak sekolah, kerana mereka akan menjadi pengintip untuk memerhati pergerakan pelajar yang telah disenaraikan. Sebarang perubahan akan diambil kira oleh penyelaras dalam proses pemilihan. Senarai pelajar yang banyak akhirnya akan dikurangkan kepada 20 orang untuk setiap sekolah, atau lebih jika diperlukan. Di sepanjang proses pemerhatian ini, penyelaras akan memberi amaran kepada pelajar-pelajar yang disenaraikan tentang apa yang mereka bakal hadapi jika mereka tidak menghentikan jenayah mereka. Pelajar yang ingin berubah ke arah positif akan dipadamkan dari senarai, manakala yang masih berdegil dan terus-menerus melakukan jenayah tersebut akan dimasukkan di dalam senarai pendek peserta program ini. Senarai muktamad akan dihantar kepada pihak pengurusan selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh ‘hari penentuan’

Hari penentuan

Hari penentuan adalah hari yang melibatkan semua peserta yang terpilih untuk program ini. Semua pelajar akan dibawa oleh sebuah bas dari sekolah masing-masing. Sekolah yang mempunyai bas sekolah sendiri akan diutamakan untuk menggunakan bas tersebut, tetapi jika sekolah itu tidak mempunyai bas sendiri, pihak pengurusan akan menghantar bas untuk kegunaan sekolah tersebut. Proses pemindahan pelajar hendaklah dilakukan secara rahsia, tanpa pengetahuan peserta. Prosedur pemindahan akan diberikan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Setiap bas akan menghala ke destinasi yang sama, iaitu sebuah kawasan yang akan ditetapkan oleh pihak pengurusan, dinamakan ‘kem’. Kem yang ditetapkan hendaklah mempunyai kawalan yang ketat dan seboleh-bolehnya menggunakan perkhidmatan angkatan tentera sebagai pengawal dan pemantau. Adalah dinasihatkan juga untuk memasang pagar elektrik atau apa-apa sahaja cara yang dirasakan bersesuaian untuk mengelakkan peserta lari dari kawasan program. Pulau yang kecil juga boleh menjadi alternatif yang baik, dengan syarat laut disekitarnya dikawal dengan rapi.

battleroyale_________c

Setibanya peserta ke kem yang ditetapkan, mereka hendaklah ditempatkan di dalam bilik taklimat. Seorang ‘pengacara’ akan dilantik untuk memberi taklimat kepada mereka. Pengacara ini seelok-eloknya diambil dalam kalangan guru sekolah berkenaan. Pengacara akan menerangkan kepada peserta apa yang bakal mereka tempuhi dan apa yang perlu mereka lakukan. Penerangan hendaklah dilakukan secara ringkas dan dikawal oleh beberapa orang tentera, untuk bersedia sekiranya berlaku rusuhan pada masa itu. Pada masa ini, sekiranya terdapat pelajar yang ingin membuat sesuatu ancaman atau cuba membunuh orang lain sebelum program bermula, pelajar tersebut boleh ditembak oleh pihak tentera. Walaubagaimanapun, pengacara tidak dibenarkan menyalahgunakan kuasa ini.

Selesai taklimat, setiap peserta akan dibekalkan dengan sebuah beg. Beg ini mengandungi senjata, makanan serta air, peta kem dan kompas. Senjata perlulah sama untuk setiap peserta. Walaubagaimanapun, senjata tambahan boleh diletakkan di sekitar kawasan kem, untuk kegunaan peserta yang menjumpainya. Begitu juga dengan makanan dan air.

Peraturan dan cara permainan

Program ini dijalankan seperti pertandingan, dengan hanya mempunyai seorang pemenang. Menggunakan kaedah ‘kalah mati’. Peserta yang telah mati akan dikira kalah, sementara seorang peserta yang hidup sahaja akan dikira sebagai pemenang. Permainan bermula setelah loceng dibunyikan. Loceng ini akan dibunyikan selepas lima minit peserta terakhir meninggalkan bilik taklimat dan masuk ke ‘zon permainan’ iaitu kawasan yang akan menjadi tempat pertempuran peserta tersebut.

Setiap peserta akan memakai sebuah kolar besi di leher mereka. Kolar ini mempunyai bom dan pengesan yang membenarkan pihak pengurusan mengesan mereka sepanjang program ini berlangsung. Peserta yang keluar dari sempadan zon permainan akan menyebabkan kolar tersebut berbunyi. Bunyi tersebut merupakan amaran kepada peserta supaya kembali ke dalam zon permainan. Sekiranya selepas 5 minit peserta masih di luar zon permainan, kolar tersebut akan meletup.

battle-royale

Peserta tidak dibenarkan untuk berada dengan peserta yang lain untuk tempoh yang lama. Sekiranya didapati ada peserta yang begerak bersama-sama, kolar tersebut akan mengeluarkan bunyi. Dalam masa sepuluh minit, salah seorang dari mereka perlu mati. Jika tidak, semua orang di dalam kumpulan itu akan mati akibat letupan kolar.(kolar ini juga dilengkapi dengan pengesan nadi untuk menentukan status hidup atau mati seseorang)Kesimpulannya, peserta perlu bergerak berseorangan.

Setiap hari, zon permainan akan dikecilkan. Sempadan akan diubah mengikut keperluan. Peserta perlu mengambil perhatian setiap pagi semasa perubahan sempadan diumumkan. Setiap sektor dalam zon permainan telah diletakkan di dalam peta. Setiap kali seseorang peserta telah dikalahkan, nama peserta tersebut akan diumumkan, serta sektor berlakunya kematian peserta tersebut.

Permainan ini akan diteruskan sehingga hanya tinggal seorang sahaja yang masih hidup dalam zon permainan. Dijangkakan dalam masa sebulan atau kurang, program ini akan berakhir. Walaubagaimanapun, tempoh ini boleh berubah. Pemenang akan dibebaskan dari kem tersebut, dan diletakkan di bawah pengawasan pihak polis selama sebulan.

Penutup

Diharapkan dengan program ini, remaja akan datang dapat membaiki diri mereka dan memikirkan akan akibat perbuatan mereka.

*kalau betul2 ada, apalah yg akan jadi agaknya..?haha…ni cuma rekaan jer semata-mata, berdasarkan cerita Battle Royale..~

No comments:

Post a Comment

Silakan komen...~