Wednesday, May 26, 2010

Biologi..tentang hidupan

 

 

systems_biology_pic

 

 

Baiklah, selepas mengimbas kembali matapelajaran yang aku gemari, apa kata kali ini, salah satu matapelajaran yang paling aku takuti semasa di menengah atas, iaitu Biologi. Awal-awal lagi, aku telah banyak mendengar rungutan tentang kesukaran matapelajaran biologi. Walaubagaimanapun, mempelajarinya merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Biologi boleh dikatakan sebagai salah satu cabang sains yang melibatkan kajian tentang kehidupan dan alam sekitar. Pada aku, biologi agak mencabar kerana banyak istilah-istilah saintifik yang perlu dihafal. Selain itu, penerangan tentang proses berlakunya sesuatu fenomena dalam hidupan juga agak sukar jika istilah-istilah saintifik tadi tidak dihafal dan difahami dengan baik.

 

Pada mulanya, semasa di tingkatan empat, kelas aku (4 Ibnu Sina) berada di bawah bimbingan Pn Ainon untuk matapelajaran biologi. Seorang guru yang amat peramah dan ceria, dia sentiasa menjadikan suasana pembelajaran menarik dan tidak membosankan. Agak tegas dan menekankan disiplin dalam pembelajaran. Walaupun begitu, dia merupakan seorang guru yang mudah didampingi dan tidak jemu-jemu menjawab soalan yang dikemukakan oleh murid-muridnya. Sekarang, dia sudah berpindah dan tidak lagi berkhidmat untuk SBPI Gombak. Kesungguhannya mengajar dan menerapkan pemahaman biologi dalam minda aku tidak mungkin aku lupakan (tapi mungkin aku akan lupa pemahaman biologi itu..). Sepanjang mempelajari di dalam kelasnya, amat jarang sekali aku mengalami kesukaran untuk memahami mengenai topik yang diajarnya. Cuma apabila aku tidak menumpukan perhatian dalam kelas, barulah selepas itu aku terkial-kial untuk memahami apa yang dipelajari pada hari itu.Tapi, secara keseluruhannya, aku berasa amat bertuah kerana pernah diajar oleh seorang guru seperti dia.

 

Tingkatan Lima. Pelbagai perkara bermain di fikiranku, Terutama sekali, matapelajaran Biologi ini yang terbukti kesukarannya apabila aku gagal mendapat gred yang baik semasa peperiksaan diagnostik. Terpaksa jugalah aku tempuhinya dengan penuh ketabahan. Untuk Tingkatan Lima, pada mulanya, kelas aku (5 Ibnu Nafis) diambil alih oleh Cik Zamimah, guru baru pada masa itu. Pada mulanya, agak sukar untuk mengikuti pengajarannya. Mungkin kerana aku kurang menumpukan perhatian dan selalu mengantuk semasa di dalam kelas. Cikgu Zamimah merupakan seorang yang lemah lembut dan rasanya aku tidak pernah melihat dia dalam keadaan marah. Oleh itu, agak mudah berurusan dengannya dan dia juga banyak membantu dalam pengurusan kelas 5 IN kerana dia juga merupakan guru kelas kami. Selepas itu, keseluruhan tingkatan 5 telah diambil alih oleh Pn Rahimah untuk matapelajaran Biologi. Cikgu Rahimah merupakan salah seorang guru yang paling lama mengajar di SBPI Gombak. Oleh itu, dia sudah mempunyai banyak pengalaman mengajar murid-murid, terutamanya tingkatan lima. Cara pengajaran yang agak ‘cool’ dan tidak terlalu terburu-buru membuatkan aku mempunyai masa yang mencukupi untuk mengejar dan memahami sesuatu topik. Markah rendahku dalam biologi tidak melayakkan aku untuk menjadi fasilitator biologi. Sebaliknya, aku ditempatkan di dalam kumpulan Sharifah Nurfarhana, juga merupakan penolong ketua fasilitator biologi. Rasanya, dia merupakan seorang yang amat komited dan bersemangat sekali. Bukan sahaja bersemangat, malah turut menaikkan semangat orang lain. Seorang yang sangat ceria dan kadangkala sangat aktif. Walaupun ketinggiannya agak rendah, tetapi dia merupakan antara orang yang mempunyai suara yang mampu didengari di seluruh sekolah tanpa memerlukan bantuan mikrofon. Dialah yang banyak membantu aku memperoleh keyakinan dan semangat untuk mempelajari matapelajaran biologi ini. Selain itu, rakan-rakan sekumpulanku yang lain juga banyak memberi dorongan untuk aku meneruskan perjuangan mempelajari biologi. Tidak dilupakan, ketua fasilitator biologi, Syafiq Junaidi, yang duduk di sebelahku, seorang yang ‘genius’ dalam biologi dan mempunyai pengetahuan yang amat meluas dalam pelbagai perkara. Dia banyak membantu aku membetulkan pemahaman dan konsep biologi yang aku kurang fahami. Alhamdulillah, walaupun tidak pernah aku sangka-sangka, aku berjaya memperoleh A+ untuk Biologi semasa SPM. Sayangnya, bidang yang bakal aku pelajari selepas ini menyebabkan aku tidak menemui lagi biologi di dalam sukatan pelajaran, Walaubagaimanapun, aku tetap akan mengikuti perkembangan terkini dalam dunia biologi dan cuba untuk menguasai asasnya agar aku dapat meluaskan lagi pemahaman aku dalam pelbagi bidang..

1 comment:

Silakan komen...~