Wednesday, May 26, 2010

Kimia…tindakbalas dan reaksi

 

336030502_d3f28f1a9d_o

 

 

 

Haha…em,rasanya tak lengkap dokumentari kenangan belajar matapelajaran sains di sekolah menengah tanpa memasukkan cerita tentang matapelajaran yang agak popular juga, iaitu Kimia. Matapelajaran ini merupakan salah satu matapelajaran yang agak susah (kalau ikutkan, semua matapelajaran memang susah). Dengan jadual berkala unsur dan simbol-simbol elemen, aku selalu membayangkan yang aku perlu menghafal banyak benda dalam matapelajaran Kimia ini. Tapi, setelah lama belajar, aku sedari bahawa benda yang perlu dihafal tidaklah sebanyak yang aku sangkakan. Tetapi, benda yang perlu dihafal itu kadang-kadang agak mengelirukan dan sukar untuk dihafal (seperti cara-cara penyediaan garam dan ‘qualitative analysis’). Dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari guru-guru aku yang sememangnya sangat cemerlang, dapat lah aku mempelajari matapelajaran yang agak ‘misteri’ ini..(misteri bagi aku sebab kimia banyak melibatkan benda-benda yang tidak dapat dilihat (atau sukar dilihat) seperti atom dan molekul)

 

Permulaan, aku mula mempelajarinya semasa di tingkatan empat, dalam kelas 4IS, dengan seorang guru yang bernama Puan Suhaida. Seorang guru yang agak lembut (dari segi suaranya agak perlahan, tapi boleh jadi amat kuat sekiranya dia dalam keadaan marah) dan juga agak tenang juga semasa mengajar. Cara mengajar yang kadang-kadang agak perlahan sehingga membuatkan aku mengantuk beberapa kali di dalam kelas. Walaubagaimanapun, dia amat prihatin dan selalu ingin memastikan murid-muridnya dapat memahami apa yang dipelajari. Selalu juga dia meminta kami bertanyakan kepadanya soalan sekiranya kami terkeliru atau tidak memahami sesuatu topik.

 

Tingkatan lima, Pn Wan Afifah pula mengambil alih. Dia merupakan seorang guru cemerlang dan memang layaklah dia mendapat gelaran itu dengan pengalamannya yang cukup lama sebagai seorang guru kimia, dari sekolah harian sehinggalah sekolah berasrama penuh. Kelihatan dia selalu sibuk dan mempunyai urusan-urusan luar yang menunjukkan betapa banyak tugas dan komitmen yang perlu dipikulnya sebagai seorang guru. Walaubagaimanapun, dia sering mencari masa untuk bersama dengan pelajarnya. Agak tegas dan garang, dia selalu mengingatkan kami supaya mengulangkaji dan memahami serta menguasai sesuatu topik dengan sebaiknya, terutamanya topik-topik tingkatan empat yang menjadi asas kepada apa yang kami belajar di tingkatan lima. Selalu juga kami dimarahi kerana masih tidak dapat menguasai asas kimia atau gagal untuk mengaplikasikan apa yang kami pelajari dalam menyelesaian sesuatu masalah. Sebagai seorang guru yang berpengalaman, dia sudah cukup masak dengan perangai dan kerenah pelajar tingkatan lima. Kadangkala kami rasakan yang cikgu amat tertekan dan risau dengan sikap kami yang kelihatan seperti tidak ambil endah akan matapelajaran kimia. Beberapa kali dia menunjukkan perasaan marah dan kecewa sehingga menyebabkan satu batch risau dan rasa bersalah. Tetapi, dengan segala kesusahan dan kepayahan yang terpaksa dilalui, rasanya ianya membuahkan hasil kerana gred purata kimia agak tinggi dan kami kekal di kedudukan 3 teratas SBP. Seterusnya, tidak dilupakan cikgu yang sentiasa bersemangat dan tidak kelihatan letih (walaupun beberapa kali dia mengakui keletihan mengajar kami dan cuba membetulkan asas kimia kami), dia merupakan seorang lagi guru yang bagi aku, banyak membantu memberi dorongan dan kekuatan kepada semua orang untuk berusaha dengan lebih gigih semasa mempelajari kimia. Oh, hampir terlupa, dia ialah Cikgu Shima. Sangat bersemangat dan penuh bertenaga, Jangan hanya dilihat dari segi fizikal. Cikgu Shima boleh mengajar sehari suntuk tanpa kehilangan momentumnya yang memang sentiasa tinggi. Aku memang mengagumi dan terharu dengan apa yang cikgu telah lakukan untuk memastikan kecemerlangan kami. Cikgu Shima dan Cikgu Wan Afifah juga banyak memberi kata-kata motivasi dan kadangkala member tazkirah kepada kami untuk mengingatkan kami tujuan kami belajar yang sebenarnya. Baiklah, untuk kumpulan belajar, aku telah dilantik menjadi salah seorang fasilitator dengan kumpulan yang agak besar. Aku agak janggal semasa sesi kumpulan belajar yang pertama. Setelah beberapa sesi, akhirnya aku dapat membiasakan diri dengan semua ahli dan mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan gaya pengajaranku. Rasanya, sampai sini saja untuk penulisan kali ini. Sekian…

No comments:

Post a Comment

Silakan komen...~